Tak cukup tanah aku berlari.
Melompat dari satu tembok ke tembok yang lain. Andai sahaja nafas yang aku ada
boleh diukur seperti bateri telefon bimbit, kemungkinan besar nafas yang aku
ada sekarang cuma tinggal satu bar daripada lima. Aku tidak peduli. Apa yang
aku fikir, hanya cara untuk meloloskan diri dan tempat untuk bersembunyi daripada
perempuan gila tu.
Ada satu jambatan. Aku
melompat ke bawah jambatan dengan bergaya yang mana ketinggiannya lebih kurang
satu tingkat. Aku tak fikir apa dah. Nasib baik sahaja aku tak mati melompat
macam tu. Tak sempat aku menoleh, ada orang menyentuh bahu aku.
“Nak air?” kata seorang mamat yang muncul entah dari
mana dengan reaksi muka yang penuh tanda tanya.
Bagai
nak gugur jantung aku. Siapa mamat ni? Sejak bila dia ada kat sini? Dia buat
apa kat sini? Ahh.. Malas aku nak ambil peduli. Aku sendiri ada masalah yang
tak selesai.
Aku
terus ambil botol air daripada mamat tu untuk melegakan haus tekak yang dah
kering tanpa fikir panjang.
“Nak
sembang? Aku layan je. Aku takda hal punya” kata mamat entah siapa tu.
Aku
duduk tepi parit tu sambil mengeluh. Kepala aku berpusing-pusing. Mata pun dah
berpinau-piau. Aku tarik nafas panjang seraya bersuara “Perempuan”.
“Awek?
Ke bini?” kata mamat tu.
Masa
mula aku kenal perempuan yang sekarang tinggal satu rumah dengan aku tu,
berbeza. Keadaan, tingkah laku dan layanan dia berbeza. Dia yang aku kenal
dulu, seorang yang biasa-biasa sahaja. Tak menonjol, pemalu, dan bersuara
dengan nada yang perlahan. Sepanjang aku hidup, aku banyak lakukan perkara yang
berisiko dan gila. Sebab tu aku selalu gaduh dengan mak aku. Pasal suka buat
kerja gila. Aku bersyukur dia tak buang aku dalam tong sampah masa aku
kecik-kecik dan bertahan dengan perangai aku sampai lah tua bangka ni. Pernah
satu hari, aku tanya dia apa yang dia inginkan untuk hadiah ulang tahun
kelahiran dia dan dia boleh jawab “anak yang normal”. Aku terdiam untuk
beberapa minit dan terus keluar rumah dek kawan-kawan satu kepala aku ajak
bermain.
Perkahwinan.
Adalah perkara yang paling gila aku pernah buat dalam kehidupan tak normal aku.
Aku tak pernah bercadang untuk melalui kehidupan normal. Sebab orang kata,
orang-orang hebat ni ialah orang yang luar biasa. Jadi, aku nak jadi luar biasa.
Tapi semuanya berubah bila aku jumpa perempuan tu. Dia normal. Pada awalnya
lah. Sejak berkahwin, selepas bertahun, dia berubah. Dia tak lagi pendiam,
malah merengek setiap kali aku tidak memberikan perhatian yang dia inginkan. Setiap malam
aku diwajibkan untuk menyanyikan dia sebuah lagu. Kalau tidak, dia akan merajuk
dan beritahu keluarganya yang aku ni membosankan. Dia
juga sendawa dan kentut sesuka hati. Aku rasa, aku lah suami yang paling
penyedih dalam dunia.
“Manusia
ni perangai dia lain-lain. Jadi, untuk serasi sentiasa tu memang tak akan jadi.
Sebab tu wujud ayat ‘tak ada manusia yang sempurna’. Kesempurnaan tu sebenarnya
subjektif. Macam kecantikkan. Bagi aku, setiap orang sempurna. Disebabkan
masing-masing rasa diri sempurna, sebab tu lah gaduh selalu” bebel mamat entah
siapa tu.
“Kau
lelaki. Jangan lah takut dengan perempuan. Kalau penakut, baik tak payah jadi
lelaki. Kau amik telur kau bagi anjing makan lagi baik” sambung mamat tu. Aku
pandang dia dengan muka ganas. Tapi ada ke anjing makan telur? Entah, malas aku
nak ambil tahu cerita pasal anjing. Lupakan saja.
Aku
terfikir. Dalam aku tak berpuas hati dengan si isteri, pernah ke aku buat
sesuatu untuk bahagiakan dia? Dalam aku mencari kesempurnaan dalam dia, aku ni
dah cukup sempurna ke nak cakap pasal kesempurnaan orang lain? Apa yang aku nak
sebenarnya? Yang aku pergi terhegeh-hegeh kejar dia mula-mula kenapa? Tak akan
aku nak harapkan dia yang normal sedangkan aku sendiri tak normal? Bukan aku ke
yang nak sangat perbezaan? Bukan aku ke yang tak nak sama dengan
manusia-manusia normal yang lain? Sekarang aku nak lepas tangan macam tu sambil
caci dia dekat orang lain? Macam tak handsome
je buat macam tu.
Tiba-tiba
mamat entah siapa tu hilang. Jambatan yang berada dia atas aku tu mula kabur.
Air yang mengalir antara parit tu mula hilang. Langit turut lari daripada aku.
Apa semua ni? Aku menjerit sekuat hati. Aku takut !
“Sayang
!” jerit seorang perempuan.
Aku
terjaga.
“Kenapa
ni? Mimpi buruk ke?” kata perempuan tadi. Aku menoleh. Isteri aku rupanya.
Aku
terus tarik tangan dia turun daripada katil. Aku berlari sambil pegang
tangannya turun ke bawah dan capai kunci kereta.
“Sayang,
kenapa ni! Nak pergi mana malam-malam ni?” kata dia dengan penuh tanda tanya
tapi masih akur.
“Kenapa
nak tidur kalau kita masih ada banyak masa untuk buat benda yang hebat-hebat
bersama?” kata aku dengan bergaya.