Tuesday, December 30, 2014

Babi Salai



Nenek aku selalu cakap, cerita Si Tanggang sekarang dah berubah daripada bentuk asalnya. Dalam Si Tanggang original, katanya, seperti yang diceritakan kepadanya oleh orang tua-tua, makanan kegemaran anak lupa daratan itu ialah siamang panggang, bukan pisang salai.

Pisang salai itu bidaah moden, selepas Melayu semua mementingkan imej Islam, selain menjadi Islam. Bagi aku, itulah keadaan Islam di Malaysia sekarang, cuma ada risiko berbahaya di bawah semua kepalsuan ini.

Islam bukan milik aku. Bukan milik kau. Islam milik Majlis Fatwa, yang sudah jadi Maharaja Malaysia, boleh buat undang-undang sesuka hati - undang-undang SAH - dan Islam milik mereka yang berjanggut, berserban dan pakai macam ninja. Islam milik mereka yang menyamar Arab.

Aku dan beberapa rakan pernah ditindas mereka yang menyamar Arab. Biasanya pasal duit. Panjang ceritanya dan aku tak mahu dedahkan, sebab mendedahkan keburukan orang itu sesuatu yang ditegah Islam. Cukuplah kalau aku cakap yang aku rasa diorang ni mungkin fikir diorang boleh aniaya orang sebab diorang sembahyang extra rakaat. Agaknya pahala dia boleh imbangkan dosa dia pada manusia dan dia masih boleh masuk syurga.

Undang-undang dan semua ahli politik, hatta Nurul Izzah the Great pun tak berani nak menentang ketidakadilan, kalau ketidakadilan itu bertopengkan Islam. Takut tak popular, gamaknya.

Dan tak payah kita nak kecoh-kecoh pasal Pilihanraya. Tak payah nak tampal poster, gantung sepanduk, berkempen sampai berbiliion habis kat pencacai dan macai. Anwar Ibrahim kalau nak jadi PM, try je masuk Majlis Fatwa. Lepas tu keluarkan fatwa dia sepatutnya jadi PM.

Pilihanraya nampak macam nak tentukan ahli politik mana berpeluang makan lagi banyak rasuah, bukan pasal nak pertahankan hak-hak asasi dan melindungi kami ra'yaott jelata ni.

Semua student tak payah nak ambik Law. Apa guna law, kalau semua diputuskan oleh Majlis Fatwa? Perempuan semua tak payah masuk beauty pageant, tak payah bersukan sebab dedah aurat (walaupun si jantan pun rata-rata dedah aurat, terutama ahli bina badan yang pakai spentot kecik). Perempuan duduk je semua kat rumah, tunggu putera raja datang minta nak kahwin.


Akan ada yang cakap, "Eh, Majlis Fatwa pakai proses dan mengikut hukum Islam." Aku taknak bincangkan proses fatwa Majlis Fatwa. Aku cuma pertikaikan skop dan bidang kuasa Majlis itu. Kalau Majlis Fatwa cuma bertindak sebagai majlis rujukan, aku rasa tak ada masalah. Cuma kalau betul pendedahan yang Majlis Fatwa boleh buat undang-undang, baik kita tak payah ada Kerajaan. Apa kata kita bagi je semua peluang makan rasuah kat Majlis Fatwa, biar semua ahli politik kebulur, takleh beli kereta mahal dan pasang bini artis tiga.

Tapi takpa. Melayu dulu, bukan Islam. Melayu dulu, makan siamang panggang, babi salai. Kalau Majlis Fatwa dan mereka yang menyamar Arab mendesak semua orang supaya terus ditindas mereka, aku tak rasa terperanjat kalau satu hari nanti, Si Tanggang akan makan siamang panggang semula.




No comments:

Post a Comment