Monday, December 15, 2014

Menyamar DrM: ISIS dan Tanggungjawab Menegur


1. Baru-baru ni, saya terbaca di media sosial remaja-remaja Melayu Islam yang amat marah bila orang bukan Islam samakan ISIS dengan mereka.


2. ISIS sekarang dilaporkan telah melakukan banyak keganasan, pembunuhan, kezaliman dan mengambil pendirian keras perihal menubuhkan empayar atau negara Islam yang besar. Sememangnya boleh faham keresahan sesiapa juga yang akan disamakan dengan mereka.

3. Malangnya, ISIS memang dianggotai orang Islam, dengan agenda Islam. Jadi, kita tidak boleh melatah dan marah sekiranya komuniti global menyamakan semua orang Islam di bawah label atau panji yang sama.

4. Kita juga tidak seharusnya berasa terkejut sekiranya media asing yang dibiayai kuasa asing - mahupun orang bukan Islam di negara kita sendiri - terus menggunakan peluang ini untuk memburuk-burukkan orang Islam seluruh dunia. Mesej penting media asing mestilah menggambarkan semua penganut Islam adalah puak pelampau yang suka bunuh orang.

5. Ada juga antara orang Islam di negara ini yang suka bila ada saja kekalutan yang dicetuskan oleh orang Islam sama ada di dalam mahupun di luar negara. Mereka suka perkara ini terjadi supaya mereka boleh melaungkan agenda keluar Islam - sebuah agama yang tidak menjadi relevan kepada mereka lagi. Mereka 'cool' dan popular. Mereka 'liberal'. Dan mereka senang dengan pujian dan tepuk atas kepala rakan bukan Islam yang sukakan Melayu sebegini.

6. Jadi, apa jawapan kita, sebagai orang Islam? Kita ada beberapa pilihan. Kita boleh cakap kita tak sama dengan ISIS, tapi saya kira penjelasan ini lemah dan tidak dapat diterima komuniti antarabangsa mahupun tempatan.

7. Pada asasnya, memang ISIS dianggotai orang Islam. Malah ada laporan mengatakan orang Malaysia sendiri - Melayu dan Islam - telah menyertai gerakan ini.

8. Sekiranya kita cakap kita tidak sama dengan ISIS, media dan kuasa bukan Islam hanya perlu menunjukkan bukti penglibatan orang Islam dan orang Malaysia sebagai alasan untuk melabel semua orang Islam sebagai pengganas.

9. Saya fikir, sudah terlalu lama kita membiarkan imej dan kehadiran Islam di persada tempatan dan antarabangsa diterajui oleh puak pelampau. Mereka ini senang saja melakukan semua perkara demi kepentingan diri sendiri dan berlindung di sebalik topeng agama.

10. Menjadi tanggungjawab kita - malah, fardu kifayah - untuk menjernihkan imej Islam supaya menjurus ke arah falsafah asal agama yang suci, murni, terbuka dan progresif. Adakah Nabi dulu pergi bunuh orang sewenang-wenangnya demi kepentingan politik?

11. Medan tempur Islam sekarang bukan di padang pasir, tetapi di medan media. Perang imej telah lama dilancarkan dan musuh Islam sebenarnya sudah lama bertapak dalam disiplin ini.

12. Pemimpin Islam pula pada hari ini terlampau sibuk mengkafirkan orang dalam pertandingan menunjuk-nunjuk siapa yang lebih alim daripada yang lain. Mereka mengabaikan penjagaan kelakuan dan imej Islam daripada diserang oleh pihak bukan Islam yang berniat jahat. Bila orang tanya, tak boleh jawab.

13. Dalam kes ISIS, pemimpin Islam seharusnya berdiri teguh dengan pendirian tetap menentang keganasan. Nak buat negara Islam, buatlah. Tapi ikutlah prosedur yang betul di negara itu. Sekiranya majoriti penduduk di sesuatu tempat mahukan negara Islam, maka bentuklah negara Islam seperti yang mereka mahu.

14. Entahlah. Saya juga risau sekiranya saya bercakap pasal agama, nanti ada pihak akan memandang serong, sama ada sengaja atau tidak. Saya bukanlah ulama. Saya tak hafal Al Quran. Saya tak pakai tudung labuh. Mungkin, kalau saya pakai tudung labuh dan hafal 2-3 surah, orang akan dengar cakap saya.


No comments:

Post a Comment