Friday, July 25, 2014

Cerpen : Tolong Jadi Normal

Tak cukup tanah aku berlari. Melompat dari satu tembok ke tembok yang lain. Andai sahaja nafas yang aku ada boleh diukur seperti bateri telefon bimbit, kemungkinan besar nafas yang aku ada sekarang cuma tinggal satu bar daripada lima. Aku tidak peduli. Apa yang aku fikir, hanya cara untuk meloloskan diri dan tempat untuk bersembunyi daripada perempuan gila tu.

Ada satu jambatan. Aku melompat ke bawah jambatan dengan bergaya yang mana ketinggiannya lebih kurang satu tingkat. Aku tak fikir apa dah. Nasib baik sahaja aku tak mati melompat macam tu. Tak sempat aku menoleh, ada orang menyentuh bahu aku.

“Nak air?”  kata seorang mamat yang muncul entah dari mana dengan reaksi muka yang penuh tanda tanya.

Bagai nak gugur jantung aku. Siapa mamat ni? Sejak bila dia ada kat sini? Dia buat apa kat sini? Ahh.. Malas aku nak ambil peduli. Aku sendiri ada masalah yang tak selesai.

Aku terus ambil botol air daripada mamat tu untuk melegakan haus tekak yang dah kering tanpa fikir panjang.

“Nak sembang? Aku layan je. Aku takda hal punya” kata mamat entah siapa tu.

Aku duduk tepi parit tu sambil mengeluh. Kepala aku berpusing-pusing. Mata pun dah berpinau-piau. Aku tarik nafas panjang seraya bersuara “Perempuan”.

“Awek? Ke bini?” kata mamat tu.

Masa mula aku kenal perempuan yang sekarang tinggal satu rumah dengan aku tu, berbeza. Keadaan, tingkah laku dan layanan dia berbeza. Dia yang aku kenal dulu, seorang yang biasa-biasa sahaja. Tak menonjol, pemalu, dan bersuara dengan nada yang perlahan. Sepanjang aku hidup, aku banyak lakukan perkara yang berisiko dan gila. Sebab tu aku selalu gaduh dengan mak aku. Pasal suka buat kerja gila. Aku bersyukur dia tak buang aku dalam tong sampah masa aku kecik-kecik dan bertahan dengan perangai aku sampai lah tua bangka ni. Pernah satu hari, aku tanya dia apa yang dia inginkan untuk hadiah ulang tahun kelahiran dia dan dia boleh jawab “anak yang normal”. Aku terdiam untuk beberapa minit dan terus keluar rumah dek kawan-kawan satu kepala aku ajak bermain.

Perkahwinan. Adalah perkara yang paling gila aku pernah buat dalam kehidupan tak normal aku. Aku tak pernah bercadang untuk melalui kehidupan normal. Sebab orang kata, orang-orang hebat ni ialah orang yang luar biasa. Jadi, aku nak jadi luar biasa. Tapi semuanya berubah bila aku jumpa perempuan tu. Dia normal. Pada awalnya lah. Sejak berkahwin, selepas bertahun, dia berubah. Dia tak lagi pendiam, malah merengek setiap kali aku tidak memberikan perhatian yang dia inginkan. Setiap malam aku diwajibkan untuk menyanyikan dia sebuah lagu. Kalau tidak, dia akan merajuk dan beritahu keluarganya yang aku ni membosankan.  Dia juga sendawa dan kentut sesuka hati. Aku rasa, aku lah suami yang paling penyedih dalam dunia.

“Manusia ni perangai dia lain-lain. Jadi, untuk serasi sentiasa tu memang tak akan jadi. Sebab tu wujud ayat ‘tak ada manusia yang sempurna’. Kesempurnaan tu sebenarnya subjektif. Macam kecantikkan. Bagi aku, setiap orang sempurna. Disebabkan masing-masing rasa diri sempurna, sebab tu lah gaduh selalu” bebel mamat entah siapa tu.

“Kau lelaki. Jangan lah takut dengan perempuan. Kalau penakut, baik tak payah jadi lelaki. Kau amik telur kau bagi anjing makan lagi baik” sambung mamat tu. Aku pandang dia dengan muka ganas. Tapi ada ke anjing makan telur? Entah, malas aku nak ambil tahu cerita pasal anjing. Lupakan saja.

Aku terfikir. Dalam aku tak berpuas hati dengan si isteri, pernah ke aku buat sesuatu untuk bahagiakan dia? Dalam aku mencari kesempurnaan dalam dia, aku ni dah cukup sempurna ke nak cakap pasal kesempurnaan orang lain? Apa yang aku nak sebenarnya? Yang aku pergi terhegeh-hegeh kejar dia mula-mula kenapa? Tak akan aku nak harapkan dia yang normal sedangkan aku sendiri tak normal? Bukan aku ke yang nak sangat perbezaan? Bukan aku ke yang tak nak sama dengan manusia-manusia normal yang lain? Sekarang aku nak lepas tangan macam tu sambil caci dia dekat orang lain? Macam tak handsome je buat macam tu.

Tiba-tiba mamat entah siapa tu hilang. Jambatan yang berada dia atas aku tu mula kabur. Air yang mengalir antara parit tu mula hilang. Langit turut lari daripada aku. Apa semua ni? Aku menjerit sekuat hati. Aku takut !

“Sayang !” jerit seorang perempuan.

Aku terjaga.

“Kenapa ni? Mimpi buruk ke?” kata perempuan tadi. Aku menoleh. Isteri aku rupanya.

Aku terus tarik tangan dia turun daripada katil. Aku berlari sambil pegang tangannya turun ke bawah dan capai kunci kereta.

“Sayang, kenapa ni! Nak pergi mana malam-malam ni?” kata dia dengan penuh tanda tanya tapi masih akur.

“Kenapa nak tidur kalau kita masih ada banyak masa untuk buat benda yang hebat-hebat bersama?” kata aku dengan bergaya.


No comments:

Post a Comment